Saturday, 10 December 2011

Pantun Dua Kerat (Nasihat)

Rangkap
Pantun

Maksud
1
Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.

Berharap agar rakan sudi membantunya lagi.
2
Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Orang yang banyak bercakap selalu bercakap bohong.
3
Pecah kaca pecah gelas,
Sudah dibaca harap balas.

Berharap agar rakan membalas surat yang diterima.
4
Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Orang yang malas berusaha sudah pasti tidak akan berjaya.
5
Pagi petang siang malam,
Hari terang senang faham.

Orang yang bijak mudah memahami sesuatu perkara.
6
Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Manusia mesti bertanggungjawab terhadap segala sesuatu yang telah dilakukannya.
7
Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.

Orang yang terakhir mestilah berkemas.
8
Buah cempedak dalam gantang,
Siapa hendak dia datang.

Jika kita menginginkan sesuatu, kita mestilah berusaha untuk mendapatkannya.
9
Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama menipu mencuri.

Penipu dan pencuri dipandang hina dalam masyarakat.
10
Saya kata itik, awak kata ayam,
Sudah kena jentik baru nak diam.

Setelah dimarahi, barulah tahu membawa diri.



Tema 
Amalan yang baik dalam hidup.

Persoalan:
   a) Orang yang rajin berusaha akan hidup selesa sementara orang yang malas
          berusaha akan hidup susah.
                b) Orang yang banyak bercakap cenderung untuk bercakap bohong.
                c) Golongan pencuri dan penipu dibenci oleh masyarakat.

Gaya Bahasa dan Unsur Bunyi

Unsur
Contoh

1.      Sinkof
Sudah kena jentik, baru nak diam.
2.      Metafora
Hati terang, busuk nama.
3.      Imej alam
Daun keladi, ikan siakap, kumbang jarak,
4.      Repetisi
Berani buat, berani tanggung.
5.      Asonansi
Pengulangan huruf vokal a. Contoh, terima kasih daun keladi.
6.      Aliterasi
Pengulangan huruf konsonan. Contoh, kumbang jarak, kumbang jagung.
7.      Jeda
Ikan siakap / ikan senohong
Banyak cakap / banyak bohong.


Nilai 
a) Kasih sayang – berusaha mengekalkan persahabatan.
b) Kerajinan – berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.
c) Berani – bersedia untuk memikul tanggungjawab.
d) Kejujuran- bercakap benar supaya tidak dibenci orang.

Pengajaran :
a) Kita hendaklah berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata supaya apa-apa yang diucapkan benar dan bernas.
b) Kita hendaklah membalas budi orang yang telah berbudi kepada kita, contohnya membalas surat yang telah dikirimkan kepada kita.
c) Kita tidak boleh bercakap bohong dan mencuri kerana perbuatan ini akan memalukan diri sendiri, keluarga dan perbuatan ini juga dibenci masyarakat.

Soalan Praktis :

1. Frasa sudah kene jentik baru nak diam dalam puisi bermasud
A. tidak melawan setelah dihukum.    
B. Pandai membawa diri setelah dimarahi
C. mendiamkan diri setelah dihukum
D. Memohon maaf setelah melakukan
     kesalahan.

2. Mesej yang terdapat dalam rangkap kelima ialah
A. orang yang cerdas akan dapat belajar dengan
     cepat.
B. orang yang tenang akan hidup gembira
C. orang yang rajin berfikir akan cepat pandai.
D. orang yang bijak mudah diajak berunding.

3. Apakah nilai murni yang terdapat dalam rangkap keenam?
A. Berani berdikari                 
B. Berani menghadapi segala akibat
C. Berani kerana benar                                   
D. Berani mempertahankan pendirian.

4. Pada pendapat anda, mengapakah pengarang meminta rakannya membalas surat yang telah dikirimkan?
A. Supaya mereka dapat mengekalkan
     persahabatan.
B. Supaya pengarang mengetahui kedudukan
     rakannya.
C. Supaya mereka dapat berkongsi pengalaman
     hidup.
D. Supaya pengarang dapat menghubungi
     rakannya pada bila-bila masa.

5. Pengajaran yang tidak terdapat dalam pantun Dua Kerat ( Nasihat ) ialah:
a. Kita haruslah menjaga tingkah laku dengan baik.
b. Jangan sesekali berbohong kepada orang lain.
c. Kita haruslah berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara.
d. Kita haruslah berani bertanggungjawab terhadap apa-apa yang kita lakukan.

1 comment: