Saturday 10 December 2011

Novel Hikmah



Sinopsis Novel ‘Hikmah’

HIKMAH memaparkan kisah seorang pelajar miskin yang bernama Amri. Dia begitu sayang akan ibunya yang sudah tua. Amri seorang anak yang baik ketika di rumah tetapi berlainan perangainya apabila berada di sekolah. Dia suka membuli pelajar junior dengan meminta wang perlindungan. Sesiapa saja yang ingar dengan kemahuannya, maka pelajar tersebut akan menerima padahnya. Dia melakukan ini semua sebagai cara melepaskan geram dan tekanan akibat sikap ayahnya seorang kaki judi yang seringkali menyusahkan dan menyakiti ibunya. Namun dia menyembunyikan kisah keluarganya sehingga Sapura seorang pengawas di sekolahnya datang ke rumahnya.

Kehadiran Sapura ke rumah Amri adalah bertujuan untuk memberitahu ibunya tentang kejadian yang menyebabkannya terjatuh ke dalam bendang setelah basikalnya dihimpit oleh Amri ketika dalam perjalanan balik dari sekolah. Amri berbuat demikian kerana Sapura seringkali menjadi pelapor perbuatan buruknya kepada guru disiplin (Cikgu Harun) sekolahnya. Sapura tidak sempat menceritakan hal tersebuat kepada ibu Amri setelah melihat peristiwa menyayat hati di rumah Amri.

Sapura bersimpati dengan nasib yang menimpa Amri. Ayahnya mengambil wang dan rantai emas kepunyaan ibu Amri untuk dijadikan modal berjudi. Ibunya pula dipukul tanpa belas kasihan. Amri tidak punya wang untuk membawa ibunya yang sakit ke hospital. Amri teringat akan wang simpanannya. Selain wangnya sendiri, wang tersebut juga wang perlindungan yang dikutip daripada pelajar junior. Amri sedar wang tersebut bukan dari sumber yang halal seperti yang disangka ibunya, namun dia tidak punya pilihan lain. Lalu, Amri mengayuh basikalnya ke bandar untuk membelikan ubat untuk ibunya.

Setibanya di sebuat farmasi di bandar, Amri membeli ubat yang sesuai dengan nilai wang yang ada padanya. Tiba-tiba datang seorang pemuda meminta pertolongnya. Nasibnya kurang baik kerana pemuda tadi sebenarnya seorang penagih yang berniat untuk memeras ugut dengan meminta wang daripadanya. Oleh sebab Amri tidak punya wang untuk diserahkan, pemuda tadi bersama dengan seorang rakannya memukul Amri hingga parah dan ubat ibunya yang dibeli tadi jatuh bertaburan. Sudah jatuh ditimpa tangga. Ketika itu, Amri teringat akan perbuatannya memeras ugut pelajar junior di sekolahnya, dia sedar begitulah keadaanya pelajar-pelajar yang diugutnya itu. Dia juga sedar wang yang digunakan untuk membeli ubat ibunya adalah haram. Inilah akibatnya, Allah akan membalas balik perbuatan yang kita lakukan terhadap orang lain. Buat jahat, dibalas jahat.

Sapura yang mengekori Amri mendapati Amri cedera dan tidak sedarkan diri. Sapura mengejutkan Amri dan memberitahu bahawa ibunya sedang dirawat di hospital. Sapura mengajak Amri melawat ibunya di hospital. Ibu Amri dibawa ke hospital oleh ayah Sabrina. Amri terharu dan berterima kasih atas pertolongan Sapura dan keluarga. Amri meminta maaf kepada Sapura.

Akhirnya Amri dan Sapura bersahabat baik. Amri telah berubah. Kini dia pula yang menjadi pelindung kepada pelajar-pelajar yang menjadi mangsa buli di sekolahnya. Amri mengharapkan sinar baru dalam keluargannya apabila ayahnya keluar dari penjara nanti.

Sinopsis Mengikut Bab

Bab 1: Sakit Hati

Amri seorang murid yang nakal. Amri mempunyai ramai kawan yang nakal seperti Siva. Mereka menganggap Amri sebagai ketua atau ‘bos’ mereka. Amri telah dirotan oleh Cikgu Salman. Seorang pengawas sekolah, Sapura, telah campur tangan ketika Amri sedang meminta wang perlindungan daripada seorang murid junior, iaitu Saleh. Nasib baik Cikgu Salman tidak mengetahui perkara sebenar. Amri dan beberapa orang rakannya sering mengugut murid-murid junior agar membayar wang perlindungan kepada mereka untuk mengelakkan diri daripada dibelasah dan dibuli. Amri berkira-kira sendiri. Dia cuba mencari helah untuk mengenakan Sapura. Dia mula membayangkan keadaan Sapura yang akan dikenakan olehnya nanti. Dia ingin membalas dendam tetapi Siva pula tidak mahu melibatkan diri. Siva tidak sanggup berhadapan dengan Sapura, seorang pengawas perempuan.

Bab 2: Berwaspada

Rozita merupakan kawan baik Sapura. Rozita mengingatkan Sapura agar sentiasa berjaga-jaga kerana Amri akan membalas dendam terhadap dirinya pada bila-bila masa. Sebaliknya, Sapura tidak berasa takut kerana baginya, cabaran itu ialah suatu amanah yang perlu dipikul oleh pengawas.
Banyak pengawas berasa takut apabila berhadapan dengan Amri kecuali Sapura. Sapura teringat akan hal pagi tadi, yakni semasa dia dalam perjalanan ke kantin, dia ternampak dengan Amri yang sedang membuli seorang murid junior. Murid junior itu berasa takut dan berbohong di depan Sapura. Sapura berkata kepada Amri bahawa dia hendak memberitahukan hal tersebut kepada guru disiplin. Amri tidak berasa takut. Dia juga memberikan amaran kepada Sapura. Walaupun Cikgu Salman menyuruh murid itu bercakap benar tetapi tetap dinafikan olehnya.
Apabila loceng berbunyi, Sapura berjalan menuju ke arah tempat letak basikal. Dia telah berselisih dengan Amri. Sapura membelek-belek basikalnya kerana takut kalau-kalau Amri telah bertindak merosakkan basikalnya. Akhirnya, Sapura tiba di rumahnya tanpa ada sebarang kejadian yang berlaku.
Bab 3; Kesusahan Hidup

Amri berubah sikap apabila berada di rumahnya. Dia menjadi anak yang baik dan sangat menyayangi ibunya. Kehidupan mereka miskin dan terpaksa bergantung harap kepada Pak Dollah kerana sikap bapa Amri yang tidak bertanggungjawab kepada kehidupan Amri dan ibunya. Jika tidak kerana ayah, mungkin kehidupan mereka tidak jadi begini dan Amri juga tidak akan berperangai seperti samseng di sekolah.
Amri berasa geram semasa mengingati kisah ayahnya. Bagi Amri, orang lain perlu merasai sama rasa sakit hati yang ditanggungnya selama ini. Amri tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Dia perlu memikirkan kehidupan keluarganya. Bagi ibunya, Amri seorang budak yang baik biarpun dia pernah terdengar akan kisah nakal Amri dahulu. Sebenarnya, Amri begitu menghormati dan mentaati ibunya.


Bab 4: Kekalutan

Ayah Amri seorang kaki judi. Malam itu ayah Amri pulang. Ayahnya meminta duit daripada emaknya. Apabila emak Amri enggan memberinya duit, dia telah bertindak menyelongkar gerobok pakaian lalu mengambil duit yang tersimpan untuk ongkos persekolahan Amri. Emak Amri cuba menghalang dan merampas wang dalam genggaman ayah Amri tetapi tidak berjaya.
Apabila ternampak akan gelang emas pusaka nenek yang dipakai oleh emak Amri, ayah Amri merentap gelang emas itu. Emak Amri hendak mengambilnya kembali, namun dia tersungkur. apabila kakinya tersadung di bendul. Amri berasa geram lalu cuba menghalang ayahnya daripada keluar. Amri pula ditampar oleh ayahnya. Emak Amri memujuknya agar bersabar dengan kerenah ayahnya. Emak Amri berdoa agar ayah Amri cepat sedar daripada kesilapannya.

Bab 5: Rintihan Hati

Amri ke sekolah dengan kesan lebam pada pipi kanannya. Ramai yang melihat kesan lebam itu tetapi tidak berani bertanya melainkan guru-guru dan rakan-rakan rapat Amri. Siang-siang lagi Amri sudah keluar melalui pintu belakang kelas. Nasib Amri sungguh malang apabila dia terserempak dengan Sapura. Tanpa mnghiraukan sapaan Sapura. Amri meluru ke arah hujung padang.
Hal ini tidak adil buat diri Amri. Dia mahu mereka itu turut merasakan penderitaannya. Amri mula mencari mangsa dan teringat akan Sapura. Dia mencari jalan untuk mengenakan Sapura. Amri bingkas bangun kerana sebentar lagi waktu rehat akan tamat. Di situ, dia dapat melihat barisan kereta dan basikal yang tersusun rapi. Serta merta Amri mendapat ilham untuk mengenakan Sapura. Dia tersenyum sendirian mengenangkan reaksi Sapura yang bakal menjadi mangsanya nanti.

Bab 6 : Mengenakan Sapura

Loceng telah berbunyi, Sapura ternampak akan Amri sedang berdiri berdekatan dengan basikalnya. Dia berpura-pura tidak melihat Amri lalu berfikir bahawa Amri hendak mengenakannya. Dia berjalan ke arah basikalnya lalu bertanyakan sebab dia berdiri di situ. Amri memberitahu bahawa basikalnya bersebelahan dengan basikal Sapura. Sebenarnya, Amri hendak meminta maaf kepada Sapura kerana berbohong. Akhirnya, Sapura memaafkan Amri. Amri turut mengayuh basikalnya beriringan dengan Sapura. Sapura memberikan peluang kepada Amri untuk menebus kesilapannya.
Dalam perjalanan, dia bertanyakan beberapa soalan kepada Amri tetapi Amri masih membisu. Tiba-tiba Amri membrek menyebabkan Sapura gagal mengawal basikalnya. Dia tergolek ke dalam bendang yang berlumpur. Ketika itulah Amri memberikan jawapannya! Sapura begitu geram memikirkan kejadian yang sudah berlaku. Seterusnya, Sapura mengangkat basikalnya yang terbenam lalu membuang lumpur yang melekat pada basikalnya. Sepanjang jalan balik ke rumahnya, Sapura membebel dan menarahi dirinya. Dia benar-benar geram.

Bab 7: Bersimpati
Amri terkejut apabila mendapati rumahnya berselerak dan dahi ibunya berdarah. Amri terlalu marah akan perbuatan ayah terhadap ibunya. Sapura bersimpati terhadap Amri apabila mengetahui perkara yang sebenar-rupa-rupanya Amri tidak senakal yang difikirkannya. Sapura membatalkan niatnya untuk memberitahu ibu Amri tentang sikap Amri terhadapnya

Bab 8: Mendapat Ubat

Amri meminta izin daripada ibunya untuk pergi membeli ubat di pecan. Wang yang ada dengannya adalah wang simpanannya dan wang hasil peras ugut murid-murid lain. Amri tiada pilihan lain-terpaksa menggunakan duit tersebut kerana bimbang akan kesihatan ibunya. Sepanjang perjalanan ke pekan,fikiran Amri asyik melayang mengingatkan semua peristiwa yang lepas yang dilakukannya

Bab 9: Cedera Disamun

Amri membeli ubat demam dan ubat luka untuk ibunya di sebuah farmasi. Ketika dalam perjalanan ke rumah,Amri ditahan oleh seorang pemuda. Dia memberitahu bahawa ada orang pengsan di belakang lorong. Itu hanyalah helah pemuda itu untuk menyamun Amri dan pemuda itu memukul Amri apabila Amri tidak memberikan wang yang diminta. Amri tidak berdaya untuk membuat apa-apa lagi. Diacedera teruk apabila dipukul oleh dua orang penyamun itu

 Bab 10: Keinsafan

Sapura bertemu dengan Amri yang tidak bermaya di lorong itu. Sapura dan ayahnya membawa Amri ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bertemu ibunya. Amri dan ibunya mengucapkan terima kasih kepada Sapura sekeluarga kerana membantu mereka. Amri menyesal kerana bersikap buruk kepada Sapura. Amri sudah insaf dan dia tidak membuli murid-murid yang lemah lagi. Tetapi, Amri menjadi pembela kepada murid-murid yang dibulinya dahulu.

Watak dan Perwatakan Novel ‘Hikmah’

Watak dan Perwatakan

1. Amri
Taat dan bertanggungjawab
-          Amri seorang yang taat pada perintah ibunya.  Misalnya, emak Amri menasihati Amri agar sentiasa bersabar dengan ayahnya.  Dia menuruti nasihat emaknya.  Amri juga bertanggungjawab membeli ubat untuk emaknya walaupun terpaksa mengayuh basikal sejauh 10 kilometer untuk ke pekan.
Berdendam
-          Amri berdendam dengan ayahnya kerana sikap ayahnya yang tidak bertanggungjawab dan selalu memukul emaknya.  Amri akan berdendam dan melepaskan tekanan dengan membuli dan memeras ugut murid lain.
Sedar dan insaf atas kesalahan diri
-          Akhirnya, Amri sedar dan insaf atas kesilapannya selama ini yang selalu memeras ugut dan membuli murid lain.  Kesedaran ini muncul apabila dia telah diperas ugut oleh dua orang pemuda ketika membeli ubat untuk emaknya.
Nakal
-          Amri membuli murid lain dengan memeras ugut mereka.  Dia melakukan perbuatan ini kerana ingin melepaskan tekanan ekoran sikap ayahnya yang tidak bertanggungjawab. 


2.  Sapura
Berani
-          Sapura berani mengadukan tingkah laku Amri yang memeras ugut murid lain.  Semua murid di sekolah itu tidak berani mengadukan perbuatan Amri kepada orang lain. 
Baik hati
-          Sapura sangat baik hati.  Buktinya, dia telah menolong Amri dan emak Amri dengan menghantar mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Tidak berdendam
-          Sapura tidak berdendam dengan Amri walaupun Amri telah mengenakannya sehingga terjatuh ke dalam sawah dan menyebabkan baju Sapura kotor. 
Pemaaf
Sapura memaafkan Amri yang telah mengenakannya dan menolong Amri dengan ibunya

3. Emak Amri
Penyayang
-          Emak Amri sangat sayang akan Amri.  Buktinya, dia sedaya upaya menyediakan keperluan kepada Amri walaupun dia tidak mampu.
Tabah
-          Emak Amri tabah menghadapi ujian hidup apabila dia dipukul oleh suaminya.  Selain itu, dia tabah walaupun suaminya tidak menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga. 
Pemaaf
-          Emak Amri memaafkan segala kesalahan ayah Amri walaupun selama ini suaminya itu tidak menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan selalu memukulnya.

4. Bapa Amri
Tidak bertanggungjawab
-          Dia tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga yang baik.
Kejam
-          Dia selalu memukul isterinya tanpa belas kasihan.  Bapa Amri gemar bermain judi dan dia selalu meminta wang daripada ibu Amri untuk berjudi dan membeli dadah.

 Latar

Latar Masyarakat
Keadaan atau citra tempat sesuatu peristiwa berlaku. 

Latar Tempat
Tempat berlakunya sesuatu peristiwa dalam sesebuah karya.  Contohnya, sungai, sekolah dan sebagainya.

Latar Masa
Waktu atau tempoh masa sesuatu peristiwa yang berlaku dalam sesebuah karya. 

Latar Tempat

Kelas Amri- Amri berbual-bual dengan Siva tentang hukuman yang akan diterima kerana memeras ugut murid lain.
Rumah Amri- Bapa Amri meminta wang daripada emak Amri.  Apabila tidak diberikan wang, bapa Amri telah menyelongkar gerobok pakaian sehinggan menemukan wang yang diinginkannya. 
Lorong di pekan- Tempat Amri diperas ugut dan dipukul oleh dua orang pemuda.

Soalan Praktis.
  1. Apakah tema yang terdapat dalam novel ‘Hikmah’ ini?
a.       Sikap dendam seorang anak kepada ibubapanya.
b.      Sikap tamak seorang budak lelaki.
c.       Kepincangan dalam keluarga yang menyebabkan anak memberontak dan berubah tingkah laku.
d.      Keangkuhan yang memakan diri akhirnya.
  1. Siapakah watak-watak yang terdapat dalam novel ini?
a.       Amri, Sapura, emak Amri, dan ayah Amri.
b.      Amri, Rahim, dan emak Amri.
c.       Sapura, ayah Sapura
d.      Amri dan Sapura
  1. Apakah kejadian yang dilalui oleh Amri semasa ingin menolong seorang pemuda yang pengsan?
a.       Dia diberi makanan.
b.      Dia dipukul dan pengsan
c.       Dia dipukul dan meninggal dunia.
d.      Dia telah berkawan baik dengan pemuda tersebut.
  1. Nyatakan perwatakan Amri dalam novel ini.
a.       Seorang yang baik hati.
b.      Seorang penagih dadah
c.       Seorang yang suka membuli pelajar lain.
d.      Seorang yang suka menolong orang lain.
  1. Kenapa Amri bertindak membuli rakan sekolahnya?
a.       Sebagai hobi untuk mengisi masa lapang.
b.      Diarahkan oleh ayahnya
c.       Meminta duit saku pelajar lain.
d.      Membalas dendam di atas perbuatan ayahnya yang suka memukul ibunya.


Drama : Mendung Hitam Beralih Jua

Sinopsis

Pak Jusuh mengeluh apabila anaknya Jamilah meminta wang sebanyak RM75.00 untuk membayar yuran SPM, sedangkan pendapatannya sebagai nelayan tidak seberapa dan hutangnya di kedai Mutusami semakin banyak. Mak Limah menegur sikap suaminya yang pernah menolak tawaran ke tanah rancangan. Akan tetapi bagi Pak Jusuh, nasib nelayan juga baik seperti Haji Dolah yang mempunyai rumah besar dan kereta. Ketika itu Mutusami datang dan meminta hutang daripada Pak Jusuh. Oleh sebab Pak Jusuh tidak mempunyai wang, radio miliknya menjadi cagaran.
Pak Seman datang bertujuan mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya untuk majlis kenduri doa selamat. Kemudia Pak Jusuh meluahkan kesusahan hidupnya. Pak Seman memujuk Pak Jusuh ke tanah rancangan agar hidupnya boleh berubah. Pak Jusuh bersetuju dan mereka berjanji untuk ke rumah tuk penghulu pada esok hari.

Tema

-          Drama ini bertemakan kesempitan hidup seorang nelayan yang dibelenggu kemiskinan.

Persoalan
  1. Amalan berhutang akan membawa padah.
  2. Tanggungjawab seorang ketua keluarga terhadap keluarganya.
  3. Keprihatinan seorang ibu terhadap pelajaran anaknya.
  4. Tanggungjawab kerajaan membantu rakyat melalui pelbagai rancangan.
  5. Amalan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat.
Watak-Perwatakan

  1. Pak Jusoh
-          Nelayan yang kuat bekerja.
-          Kerap berhutang
-          Tidak tahu membaca.
-          Seorang yang tidak bertanggungjawab kerana tidak mahu memikirkan cara untuk menyelesaikan hutang.
  1. Mak Limah
-          Sangat mengambil berat akan keluarganya.
-          Mementingkan pendidikan anaknya.
-          Menghormati tetamu.
  1. Pak Seman
-          Sebaya dengan Pak Jusuh
-          Lebih kemas, bertenaga, dan suka menolong.
-          Mengajak Pak Jusoh menyertai Rancangan Tanah Kerajaaan untuk mengubah corak hidup Pak Jusuh sekeluarga.

Latar

Latar Masa
-          Semua peristiwa berlaku dalam masa setengah jam, iaitu dari petang hingga senja.
Latar Tempat
-          Ruang tamu rumah pak Jusuh ( semua peristiwa berlaku di ruang tamu )
Latar Masyarakat
-          Masyarakat Melayu yang bekerja sebagai nelayan.
-          Masyarakat Melayu yang menyahut seruan kerajaan.
-          Masyarakat India yang bergiat dalam lapangan perniagaan.

Nilai murni

Baik hati: contohnya, Pak Seman mempelawa Pak Jusuh ke tanah rancangan agar    nasibnya      lebih baik.
Kerajinan: contohnya, Haji Dolah gigih berusaha sebagai nelayan menyebabkan nasibnya lebih baik berbanding Pak Jusuh.
 Rasional: contohnya, Mutusami tidak berterusan mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh.
Semangat bermasyarakat, contohnya Pak Seman mengundang Pak Jusuh ke rumah menantunya yang akan mengadakan kenduri doa selamat.

Pengajaran

Patut merebut peluang yang baik, contoh yang ditunjukkan oleh Pak Jusuh pada mulanya menolak ke tanah rancangan janganlah diikuti.
Kita perlu mengamalkan sikap tolak ansur, contohnya Mutusami tidak lagi mendesak Pak Jusuh membayar hutang kerana dia memahami masalah yang dihadapi oleh Pak Jusuh.
Kita wajib mengamalkan sikap bermasyarakat, contohnya Pak Jusuh menerima undangan Pak Seman untuk ke rumah menantu rakannya itu yang akan mengadakan majlis kenduri doa selamat.
 Kita perlu memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti berfaedah, contohnya Jamilah mengisi masa terluang dengan melibatkan diri dalam kegiatan pertubuhan belia di balai raya kampungnya

Soalan Praktis
  1. Siapakah watak utama yang terdapat dalam drama ‘Mendung Hitam Beralih Jua’?
a.       Mutusami                          c. Pak Seman
b.      Pak Jusuh                          d. Tuk Penghulu

     2.    Antara yang berikut, yang manakah BUKAN persoalan dalam drama ini?
                        a. Amalan tolong-menolong dalam kalangan masyarakat.
                        b. Pergaulan bebas dalam kalangan remaja.
            c. Keprihatinan seorang ibu terhadap pelajaran anaknya.
            d. Amalan berhutang akan membawa padah
  
   3.   ‘ Kalau tidak, ini kali saya bawa awak ke mahkamah’
            Berdasarkan dialog di atas, nyatakan gaya bahasa yang berkaitan.
a.       Sinkope                             c. Simile
b.      Repetisi                             d. Inversi/Pembalikan Kata

   4.    Drama ini bermula dengan perbualan antara
            a. Pak Jusuh dan Mak Limah tentang pembayaran hutang.
            b. Mak Limah dengan Jamilah tentang aktiviti Jamilah.
            c. Pak Jusuh dengan Mutusami tentang tuntutan hutang.
            d. Pak Jusuh dengan Pak Seman tentang kehidupan peneroka.

    5.   Antara yang berikut, pengajaran yang paling SESUAI dalam drama ini adalah
a.  Kita hendaklah mengelakkan diri daripada berhutang kerana ia akan membawakebaikan kepada diri sendiri.
b.    Kita perlulah mengamalkan sikap bertolak ansur agar hubungan dengan anggota masyarakat menjadi harmoni.
c.         Hendaklah kita mensia-siakan peluang yang ada kerana peluang lain akan datang lagi.
d.         Ibu bapa haruslah mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak.

Prosa Tradisional : Budi Seorang Bapa Angkat

Sinopsis :

Kemangkatan Tuanku Si helang Laut dan permaisurinya di Bandar Mengkalih menyebabkan anaknya Awang Sulung Merah Muda dipelihara oleh Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjang. Kemudian Awang Sulung dihantar mengaji Quran dan merawi di rumah Tuan Kadi Alim. Awang dapat membaca hingga khatam pada malam ketujuh. Seterusnya Awang Awang Sulung diajar belajar ilmu bahasa akal dan bahasa Arab di rumah Tuan Malik Kecil. Dalam masa yang singkat sahaja Awang Sulung dapat menguasai ilmu yang dipelajarinya.
Awang Sulung kemudian diajar ilmu persilatan oleh bapa saudara yang memeliharanya, Datuk Batin Alam. Sesudah mahir, Awang Sulung dikhatankan oleh Datuk Mudim Raja dalam satu majlis yang gemilang. Setelah sembuh daripada khatan, tukang mengasah gigi di panggil ke istana. Baja kayu disapukan ke gigi Awang Sulung menjadikan sesiapa yang terpandang wajah Awang Sulung akan terpikat.

Tema :

Tanggungjawab seorang bapa kepada anak angkatnya dalam memberikan didikan yang secukupnya agar anaknya menjadi seorang yang berguna.

Persoalan :

1.      Kepentingan mempelajari ilmu dunia dan ilmu akhirat kepada anak-anak.
2.      Keistimewaan anak-anak raja Melayu pada zaman dahulu.
3.      Memelihara seorang anak angkat dengan penuh kasih sayang.

Watak dan Perwatakan

1. Awang Sulung Merah

1.      Watak utama
2.      Anak kandung kepada Si Helang Laut
3.      Anak angkat Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjing
4.      Seorang yang bijak dan pandai dalam hal-hal agama dan persilatan
5.      Mempunyai ilmu kebal
6.      Berani dan memiliki rupa paras yang menawan

2. Datuk Batin Alam

1.      Suami kepada Uli Emak Si Anjing
2.      Bapa kepada Tuan Puteri Dayang Nuramah
3.      Bapa angkat Awang Sulung Merah
4.      Seorang yang penyayang

3. Tuan Puteri Dayang Nuramah

1. Anak kepada Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjing
2.                Bakal dikahwinkan dengan Awang Sulung apabila dewasa

Gaya Bahasa

1.      Bahasa Istana
Contoh : beta, titah, baginda, peterana, juak-juak
2.      Bahasa klasij
Contoh : gerinjan, hamba, gemala, gerangan, juragan
3.      Bahasa Arab
Contoh : Al-Quran, kadi, mantik, khatam
4.      Sinkof
Contoh : Kuajar saja
5.      Simile
Contoh : bagai wajah purnama terlepas dari saputan awan
6.      Personifikasi
Contoh : Keesokan harinya ketika sejuk subuh menggigit tulang

Nilai

1.       Kebijaksanaan
2.      Kasih sayang
3.      Kepentingan ilmu
4.      Keberanian
5.      Ketaatan

Pengajaran

1.      Kita hendaklah mengasihi dan berbuat baik kepada saudara-mara kita.
2.      Kita harus berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melakukan perkara.
3.      Kita hendaklah ikhlas terhadap sesuatu yang dilakukan.
4.      Kita hendaklah memberikan pendidikan yang seimbang antara ilmu akhirat dengan ilmu dunia.
5.      Kita janganlah bersikap kedekut dalam memberikan ganjaran kepada orang yang telah berjasa kepada kita.
6.      Kita janganlah terlalu taksub kepada kelebihan yang dimiliki.